You are currently browsing the daily archive for November 26th, 2008.
Perkara yang paling saya nanti-nantikan apabila bertemu dengan akhawat tercinta ialah dapat melihat wajah tenang mereka tatkala sebenarnya jauh di dasar hati, mereka menanggung seribu satu cabaran dan tanggungjawab yang tidak pernah berpenghujung.
Tanggungjawab sebagai pelajar.
Cabaran sebagai daie.
Mereka seperti insan lain, saperti saya, seperti anda, bergelar pelajar yang sibuk berhempas pulas mengejar kecemerlangan untuk menggenggam segulung ijazah.
Pada masa yang sama, segala macam peluang ilmu ruhiyyah dan tarbiyah sentiasa dikejar.
Ilmu duniawi, ukhrawi dan tarbiyah perlu untuk memenuhi “kekosongan tangki” di dalam diri.
Kata-kata seorang ukhti yang baru saya kenali,
Bagaimana mahu “‘memberi” jika diri ini seperti tangki yang kosong?
Maka perkasakanlah dirimu dengan ilmu!
Di celah kesibukan itu, mereka tidak pula culas bekerja untuk sesuatu yang tidak diganjari hadiah dan anugerah manusia.
Sejauh mana pun bumi Allah yang harus diredah,
Sesempit mana pun masa yang ada,
Semahal mana pun kos dan harga yang perlu dibayar,
Sepenat mana pun jasad merintih,
Senyuman sentiasa terlukis di bibir.
Mereka tekun bekerja, bekerja dan bekerja.
Bekerja untuk membawa insan kepada Tuhan.
……………………………………………………………………………………………………………………………………….
Setakat ini, hanya beberapa kali sahaja saya pernah bersua muka dengan seorang ukhti ini yang tinggal jauh di utara United Kingdom.
Bumi Aberdeen yang dingin amat.
Kali pertama bertemu di satu majlis ilmu di Manchester, entah mengapa saya dapat merasai kelainan pada air wajahnya.
Sungguh hati saya bergetar melihat peribadi seorang daie.
Yang ketika zaman silamnya, mungkin tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa jiwa dan raganya akan diabadikan di lapangan dakwah.
………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
Seawal pagi tadi, apabila saya memeriksa inbox emel, saya mendapati ada sajak yang dititipkan oleh ukhti ini.
Tak Mengapa
Tak mengapa,
kalau waktu tidur kita bukan lagi seperti dulu.
Tak mengapa,
kalau kita terpaksa mengikat perut untuk dakwah terus maju.
Tak mengapa,
kalau kita harus menelan keperitan,
menyembunyikan 1001 masalah,
menceriakan wajah,
demi meraikan mad’u.
Tak mengapa,
Kalau otak kita penat kerana berfikir tentang masalah ummah.
Tak mengapa,
kalau mereka berkata yang tak benar tentang kita,
kesabaran dan kelapangan dada kita yang akan menyedarkan hakikat sebenar,
yang pasti kita sama sekali tidak akan melakukan perkara yang sama kepada mereka,
bukankah kita seperti sahabat itu?
segala kemarahan dan dendam lenyap tika mata dilelapkan.
Tak mengapa,
kalau usaha kita dianggap sia-sia di mata manusiawi,
mungkin mereka terlupa atau tak sedari,
Allah tak memandang enteng,
usaha burung kecil yg membantu Nabi Ibrahim memadamkan api.
Tak mengapa,
kalau kadang-kadang diri mengeluh kerana payah,
tapi diri harus dilatih agar sebati dan lali dengan penat dan lelah,
kerana kerehatan kita kini hanya dalam bekerja, memberi dan bersusah.
Ikhwah wa akhawat fillah,
Tak mengapa,
kalau kita terpaksa menangung semua itu,
kerana Allah telah pun menggantikan dengan nikmat-nikmat,
dalam kita sedar ataupun tidak,
bukan pada nama,
pangkat mahupun harta,
tapi pada kekayaan jiwa.
Bukankah kini kita dapat katakan ’sayonara’ pada jahiliyah?
masa kita tidak lagi dicuri oleh perkara yang tak berfaedah,
‘cermin mata‘ baru yang di kurniakan sebaik-baik hadiah,
dapat kita lihat sesuatu dengan mata hati,
kita bukan lagi orang yang ‘buta’ dan ‘tuli’.
Doa dan solat kita bukan lagi seperti orang lain,
kita ketemukan ketenangan dan kerehatan dalam tiap rukuk dan sujud,
doa penuh dengan harapan dan air mata,
mendambakan simpati dan pertolongan Ilahi,
tahajjud dan qiyam memjadi sesuatu yang sentiasa dinanti-nanti,
kerana kita imani kekuatan yang ditagihkan hanya milik Al-Qawi.
Setiap langkah dan hela nafas pasti bersertakan Allah,
jiwa dan bibir sentiasa basah dengan Zikrullah,
taubat dan istighfar jarang berpisah,
kerana kita sedar jiwa yang kotor akan cepat penat dan lelah.
Syaitan sering menunggu untuk mengambil peluang,
menipu dan menggaburkan hati kita dengan hasutan dengki,
agar kita terlupa tentang nikmat-nikmat ini.
Berbahagialah saudara yang ku kasihi,
kalau redha Allah yang kau buru sepenuh ikhlas di hati,
nikmat ini tak akan berhenti di sini,
ganjaran yang lebih besar sedang menanti,
di hari pembalasan yang Dia telah janji.
-Nukilan hati ukhtiku jauh di Aberdeen-
Cerita hati,
iman muslihah








Recent Comments