You are currently browsing the monthly archive for December 2008.
Potret Anak-anak Kita di Sini
13 Ramadhan 1429
Masjid Jamek Muar, Johor
Jenuh juga mengambil gambar keletah kanak-kanak tanpa pengetahuan mereka di celah-celah kemeriahan Pesta Ibadah Solat Tarawikh Ramadhan di masjid daerah kampung halaman saya pada cuti musim panas yang lepas. Namun tidak pula saya menyerah kalah mengacukan lensa kamera baru saya berjenama Samsung ini, demi merakamkan aksi kanak-kanak ketika mereka menunaikan solat tarawikh bersama para jemaah.Kamera baru saya ini, “Nurul Izzah” namanya.

pandai adik sujud, tapi macam tersalah arah kiblat je dik..

solat sunat rawatib barangkali..
Mengapa ya saya merakamkan keletah mereka?
Jika ditanya ketika itu, saya sendiri kurang pasti. Yang pastinya ada sesuatu yang menarik saya untuk mengabadikan keletah anak-anak kecil ini dalam memori “Nurul Izzah” saya.
Sungguhpun gambar-gambar ini tidak bisa bersuara, namun ketahuilah betapa riangnya hati anak-anak cilik ini tatkala diberi peluang bersolat bersama ibu ayah dan adik beradik tercinta.
Bertuah benar mereka.
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………
Potret Anak-anak Kita di Sana
1 Muharram 1430.
(Entah ceruk mana di bumi Palestina.)
Entah apa yang telah merasuk rejim zionis, saya sendiri sudah letih memikirkannya. Tatkala diari tahun baru mula menampakkan lembaran barunya, tatkala itulah peluru-peluru zionis tidak segan silu berpesta di bumi Palestina.
Aduhai, tidak saya sangka sebuah sajak bertajuk “Kisah Anak Palestin” yang saya persembahkan di satu sesi ketika Perhimpunan Musim Sejuk Scotland 2008 menjadi igauan sebaik sahaja saya sampai di halaman rumah sendiri di Sheffield. Sebaik sahaja tiba dari kembara ilmu selama 7 hari di bumi dingin Scotland, papan kekunci “Nurul Iman” terus sahaja menjadi sasaran. Dunia luar disinggahi untuk barang seketika.
Aduhai…
Himpunan berita yang sungguh pahit untuk ditelan.
Aduhai Palestina..
Gaza Makin Tenat !!
Isnin ,22/12/2008 -Pengerusi jawatankuasa popular pengepungan, MP Gaza, Jamal Al-Khudari Ahad lalu mengecam keras sekatan ekonomi Israel terhadap Semenanjung Gaza, sambil menegaskan bahawa pengepungan itu menjadikan Gaza terpinggir disamping bencana kemanusiaan yang membimbangkan.
Serangan habis-habisan ke atas Gaza.
Jumaat ,26/12/2008 -Ketua Tentera Rejim Zionis , Gabi Ashkenazi telah mengugut pada Khamis lepas akan mengerah seluruh kekuatan tentera bagi menyerang balas Gaza seperti yang di arahkan oleh kerajaan Israel .
Rejim Zionis menyerang Universiti Islam Gaza.
Isnin,29/12/2008 - Tentera rejim Zionis terus menerus menyerang Jalur Gaza dengan mengebom Universiti Islam Gaza di bandar Gaza pada sebelah malam.
(lagi berita di Palestinkini.info)

andai kupunya daya untuk solat seperti mereka (www.daylife.com/photo/0aBge2pb3ygiP)

entah mengapa kuharus sujud pada kaki penceroboh ini? (www.palestinetoday.org/gallery/albums)
.jpg)
apakah hanya solat jenazah sahaja yang layak bagiku? www.eramuslim.com/fckfiles/Image/pic1(515).jpg
Entah mengapa saat itu bayangan Yvone Ridley -bekas tahanan Taliban yang begitu bersemangat meniupkan obor semangat ketika beliau berceramah di satu sesi Perhimpunan Musim Sejuk 2008 dan gambar visual maya anak-anak Palestin yang malang silih berganti mengisi minda .
Jiwa yang pada mulanya berkobar-kobar akibat penangan Yvone Ridley tiba-tiba meruntun hiba mengenangkan nasib anak-anak Palestin sana.
Masakan tidak, anak-anak Palestin juga anak-anak kita.
Anak-anak saya.
Anak-anak anda.
Anak-anak kita.
Mengapa tidak?
Kerana bumi Palestina itu wathon kita!!
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………..
Aduhai Anak-anak Kita
Saya mungkin tidak sekuat Yvone Ridley yang tegar menyeberangi Tebing Barat untuk memburu kisah-kisah benar di sebalik gambar duka anak-anak Palestin demi merungkai segala kekejaman Israel.
Saya juga mungkin tidak mampu merakam potret-potret sebenar tangisan dan ketakutan anak-anak Palestin dengan lensa kamera sendiri.
Yang saya mampu, hanyalah membaca kisah-kisah mereka dan menatap potret kedukaan mereka dengan hati yang lara.
Tatkala menatap rakaman gambar anak-anak Malaysia yang riang belajar menunaikan solat Tarawikh dan berlari-lari sambil tertawa di perkarangan masjid, saya tertanya-tanya adakah anak-anak Palestin juga bisa mendapat peluang sedemikan rupa?
Masih adakah ruang waktu bagi mereka untuk mereka belajar mengangkat takbir, rukuk dan sujud menyembah Tuhan yang Esa? Ataukah senggang waktu yang ada hanya mampu terisi dengan lolongan kesakitan, rengekan kelaparan, tangisan ketakutan dan bertempiaran lari daripada bedilan peluru yang maha zalim?
Aduhai anak-anak kita..
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
Hidup Memberi
Jika pembaca blog lama saya (www.imanmuslihah@blogspot.com) masih ingat, saya dan akhawat seusrah pernah melancarkan jualan amal Palestin pada tahun yang lalu di Sheffield. Setelah beberapa bulan lamanya kami melakukan kerja-kerja mengumpul modal, merancang strategi penjualan, kerja-kerja promosi, shipping baju-baju ke UK dan pengagihan dan penjualan, kami berjaya mengumpul satu jumlah kutipan yang amat kami harapkan dapat meringankan beban saudara-saudara di Palestin sana.
Alhamdulilah, setakat tarikh 1 Muharram 1430 Hijriyah, dengan izin Allah, kami mampu mengumpul sebanyak 1243.10 pounds dan telah pun diserahkan kepada badan-badan penyalur bantuan Palestin yang diiktiraf dan diyakini.
Mungkin jumlah tersebut tidaklah seberapa jika hendak dibandingkan dengan bantuan yang benar-benar diperlukan oleh mereka yang tenat diheret ke kancah penderitaan.
Jika diimbas kenangan mula-mula meraih sokongan mental dan material untuk proposal projek mini ini, tentu sekali kenangan manis ini menggamit ingatan. Bilangan pemodal kami tidaklah gah dari segi angkanya, namun keluhuran budi mereka benar-benar menyentuh jiwa. Lebih berbekas di hati, kesemuanya adalah rakan akhawat tercinta yang tidak pernah putus memberi sokongan kepada diri kerdil ini.
Video promo ketika promosi di NISE Leeds Februari 2008
Tidak lupa juga kepada para pembeli yang budiman, sepertimana yang dijanjikan,100% daripada keuntungan jualan ini, kami bertindak sebagai wakil anda “menghadiahkan” sumbangan anda yang tidak ternilai harganya ini kepada saudara-saudara kita, anak-anak kita di bumi dan wathon kita, Pelestina.
Video Untukmu Alif Kecil Palestina- tayangan di Tamrin NISA Manchester 2008
SEBUAH HADIAH YANG BERNAMA DOA
Berzikir dengan nama tuhanmu
Bermunajatlah di tengah malam
Bertaubatlah padanya penuh rasa hamba
Agar doa kita di.. makbulkan
Agar Palestina kita genggam semula
Agar Palestin bebas di tangan kita
Kembali damai disirami air
Dengan kata dan ketaqwaan
Pada Allah yang maha kuasa
Ketakutan dan kelemahan
Peluru dan dentuman
Bukan lagi penghalang
Pembelaan Allah akan datang
Terimalah bingkisan hadiahku ini
Walau sekadar doa cuma.
Lukisan potret hati,
iman muslihah
2 Muharam 1430, 5.09 pagi
Sheffield
Jumaat,12.12.2008
Jam 10.15 malam.
“Kak Wani, dulu masa datang UK, siapa packing untuk Kak Wani ni?”, tanya Farah sambil menggelengkan kepala. Farah, merupakan salah seorang antara adik first year amat saya sayangi dan manjakan.
“Hmm, hehe..mak akak,” jawab saya tersengih.
“Tapi, bukan akak tak packing sendiri tau! Bila akak dah siap packing, mesti akak rasa macam -macam tak kena. Jadi, last-last mak akak yang buat “final packing”,” sambung saya, mempertahankan diri dengan alasan yang tidak berapa kukuh.
“Dah..dah, Kak Wani asingkan baju mana nak bawa, biar Farah lipatkan dan masukkan dalam beg,” tukasnya seraya membuka zip luggage berbelang biru jingga milik saya.
Seusai usrah bersama anak-anak usrah saya, segera saya berkejar memulakan “OPS PACKING” yang dibantu oleh ahli jaulah Andalusia dari Sheffield, iaitu Farah. Alhamdulilah, selesai juga aktiviti yang kurang saya gemari ini tepat jam 12 malam. Terima kasih dik!

Sejarah Kita yang bakal disingkap
Esok, ( 13.12.2008) kami beberapa akhawat dari Sheffield serta akhawat Leeds akan terbang ke Spain dalam menjayakan misi Jaulah Andalusia. Ukhti Mala Ahmad yang bertindak sebagai mas’ulah sangat membantu kami dalam perancangan jaulah ini.
Kesediaan beberapa akhawat yang bermurah hati memberikan nota-nota Sejarah Islam di Andalusia dan planning jaulah seperti akhawat Leicester dan Birmingham amat dihargai. Malah, dua hari sebelum penerbangan, saya mendapat “teaching secara crash course” berpandukan buku “Islam in Andalus” daripada Kak Jihan di cafe Hospital Royal Halamshire.
Doa saya, semoga Allah membalas kebaikan kalian dengan Jannah-Nya
Al HAMBRA- (Anin Fotopages)
Insyaalah, kami akan kembali semula ke UK pada 18 Disember 2008. Setelah itu, bermula pula jaulah kedua kami- Perhimpunan Musim Sejuk (PMS) Scotland 2008. Disebabkan saya punya tugas tertentu di sana, maka saya akan ke Scotland awal sehari berbanding rombongan akhawat Sheffield ke PMS pada 22 Disember 2008.
Hmm..ini bermakna saya hanya mempunyai beberapa hari sahaja selepas Jaulah Andalusia untuk melumatkan-hadamkan segala macam bekalan ilmu untuk mempersiapkan diri, mental dan ruhi sebelum PMS 08 bermula! Moga Allah permudahkan.
Mohon untuk sertakan saya dalam doa kalian ya!
……………………………………………………………………………………………………………………………………..
Tadi, semasa perjalanan pulang dari rumah anak usrah saya, saya tersenyum sendiri. Entah mengapa ada semacam perasaan lembut menyapa jiwa . Malam ini adalah sesi usrah terakhir untuk semester ini. Benar-benar meninggalkan kesan dalam lubuk hati saya.
Saya merempuh kesejukan malam yang ditemani hujan renyai-renyai dengan satu memori yang sukar diterjemahkan. Satu-satu wajah hinggap di benak fikiran. Lagi, saya tersenyum sendirian.
Antara ungkapan yang tidak dapat saya lupakan semasa kami berpisah beberapa ketika yang lepas,
“Wani, jaga diri baik-baik. Jangan lupa doakan kitorang ya,”
Mungkin ini hanyalah ungkapan biasa bagi kebanyakan orang.
Namun, tidak bagi saya tatkala orang-orang yang menuturkan ungkapan itu adalah insan-insan yang kehadiran mereka amat saya hargai .
Terima kasih tidak terhingga.
Mohon agar didoakan untuk diri ini juga.
iman muslihah
4 Disember 2008, Khamis
10 malam
Beberapa hari yang lepas, entah mengapa saya banyak termenung.
Dalam kesibukan saya menguruskan urusan peribadi, pelajaran, usrah, modul/aktiviti Perhimpunan Musim Sejuk Scotland (tak sabar betul nak ke PMS), jaulah jelajah Andalusia dan entah apa macam perkara lagi , saya tidak pasti sejauh mana saya “menguruskan urusan ukhwah” sesama akhawat.
Saya mencapai telefon bimbit lalu ibu jari pantas memicit-micit papan kekunci.
“Salam, my dear sis, how are you? Exam macam mana? Harap Allah bagi motivasi dan kekuatan. Lama tak tanya khabar. Harap iman dalam hati sihat2 juga! =)”
Send to..
“IMAN LEEDS”
Sent.
Saya menghela nafas perlahan. Sudah lama sebenarnya saya tidak menghubungi sahabat saya ini. Apatah lagi berbual-bual panjang.
Entah apa khabar sahabat di Leeds sana.
Saya sendiri kurang pasti.
Jarak memisahkan (Sheffield-Leeds) tidaklah terlalu jauh, namun sang masa yang nampaknya beria-ria mahu menjadi asbab kepada “kesenyapan” hubungan kami ini.
Hakikat yang sedikit mengecewakan.
Mengecewakan bagi diri saya yang sering berbicara tentang ukhwah.
………………………………………………………………………………………………………………………………….
Mengimbau awal detik perkenalan, tiada apa yang menarik yang boleh saya coretkan.
Tapi ada sesuatu yang saya suka tentangnya walaupun saya tidak begitu mengenalinya- saya suka akan namanya.
Nurul Iman.
Mudah didekati, lembut tutur bicara, lembut lagi hatinya.
Kami punya cita-cita yang sama. Ingin sama-sama meneruskan kembara ilmu ke United Kingdom. Seingat saya, kami pernah meletakkan beberapa universiti pilihan yang sama. Namun, kuasa Allah mengatasi segala-galanya.
Saya di Sheffield, dia di Leeds.
Namun, kami pernah berkongsi laluan yang getir untuk mencapai impian ini. Mungkin mudah bagi sesetengah sahabat lain, namun, tidak bagi kami. Walaupun begitu, saya tidak pernah menyesali bahawa suatu ketika dulu, saya pernah melalui lorong-lorong kesukaran kerana di hujung lorong tersebut, saya bukan sahaja menemukan nikmat kesabaran, malah saya dihadiahi dengan memori indah yang dikongsi bersama seorang teman yang begitu memahami.
………………………………………………………………………………………………………………………………..
Tadi, saya melawat blog lama kesayangan saya, imanmuslihah@blogspot.com. Sengaja membelek-belek kenangan lama yang tertulis di ruangan yang amat saya rindui itu. Lalu saya ketemukan cebisan coretan ini.
Ahad, 18 Disember 2007,
13 Lyddon Terrace, LS2 9LA, LEEDS. (rumah Iman)
Keesokan harinya. Seperti biasa, saya bangun awal. Sunyi sedikit rumah ini. Mungkin terlalu awal.
Setelah bersiap, saya ke dapur.
Saya ternampak kelibat Iman.
“Iman tengah buat apa?”tanya saya.
“Buat scramble egg je wani,” tuturnya, sambil tangannya sibuk menghancurkan telur.
“Biar kita buat air, buat air teh boleh?,” saya bertanya sambil mata melilau mencari bekas teh.
“Suka hati Wani lah. Apa-apa pun boleh,” .
Hanya kami berdua di dalam dapur.
Tiba-tiba kedua-duanya terdiam.
Tiada komunikasi.
Yang ada, hanyalah bunyi percikan telur di dalam kuali.
Yang ada hanyalah bunyi lagaan sudu dan teko ketika saya mengacau teh.
Sepi sahaja.
“Iman….”saya bersuara. Sedikit bergetar.
“Ya..Wani..” kali ini, kedengaran pula getaran suara Iman.
“Kita sebenarnya lega. Lega tengok Iman sekarang,”saya berhenti mengacau teh. Saya memusingkan badan, memandang Iman.
“Kenapa Wani?”sahabat saya ini menyambung pertanyaannya.
“Sebelum ni, kita tertanya-tanya, macam mana Iman kat Leeds, macam mana kawan-kawan kat Leeds..susah ke, senang ke…Kita dah banyak kali jumpa Mai, kita lega tengok dia happy. Tapi kita belum pernah jumpa Iman sejak datang UK. Tapi hari ini, kita sangat lega, Iman,” saya berhenti sebentar, menghela nafas.
“Terima kasih, Wani,”redup matanya merenung saya.
“Kita lega tengok Iman gembira duduk serumah dengan kawan-kawan yang mengambil berat. Kita lega tengok Iman dapat kawan macam Koca, tempat Iman luahkan perasaan.
Kita lega tengok Iman dapat kakak-kakak macam Kak Aiza, Kak Hajar.
Kita betul-betul lega, Iman,” luah saya.
Ketika itu, mata sahabat saya sudah mula berkaca.
Saya menahan rasa.
Inilah harga sebuah kasih sayang, Iman. Memang Iman dan kawan-kawan lain terpaksa berjimat sebab harga flat yang mahal.
Memang Iman dan kawan-kawan lain terpaksa bersabar kerana menanggung assignment yang banyak.
Memang kadang kala Iman terpaksa menangis sebab terlalu banyak perkara yang hendak difikirkan…exam, SSC, duit.
Tetapi pulangannya, amat lumayan.
Harga sebuah flat tidak dapat menandingi harga sebuah mahabbah.
Harga sebuah kesibukan tidak dapat menandingi harga sebuah ukhhuwah.
Memang jerih, memang perit.
Tapi inilah harga yang perlu Iman bayar untuk mendapatkan secebis kasih sayang.
Kerana kasih sayang bukannya murah.
Saya tidak pasti sama ada saya menuturkan kata-kata ini kepada Iman atau hati saya sahaja yang bermonolog.
Tapi yang pasti, mata saya mula kabur. Air sudah mula menakung di tepian kelopak mata.
Cepat-cepat saya memusingkan kembali badan, menghadap dinding, berpura-pura mengacau teh yang sebenarnya sudah mula sejuk.
Saya tidak mahu membiarkan sahabat saya ini melihat keadaan saya. Kerana saya tahu, dia akan menangis dengan lebih teruk. Saya tidak mahu ada air mata yang tumpah pada hari terakhir saya berada di sini.
“Terima kasih, Wani,” telinga saya menangkap suara halus yang keluar daripada mulut gadis ini.
Kali ini, tebing kelopak mata saya betul-betul lemah. Dan akhirnya, runtuh.
………………………………………………………………………………………………………………………….
Saya melepaskan keluhan lagi. Jauh merenung saat-saat lampau. Indahnya saat itu, saya berpeluang menziarahinya di Leeds.

Setahun yang lepas. Musim dingin seperti ketika ini.
Saya masih ingat ketika itu, dialah insan pertama yang mengajar saya cara memakai muffler/mafla . Malah, lebih manis lagi, dia jugalah insan pertama yang melilitkan muffler di leher saya sebelum mengucapkan selamat jalan ketika saya bersiap-siap untuk pulang semula ke Sheffield setelah bermalam di terataknya di Leeds.
Hingga kini, setiap kali saya melilitkan muffler ungu kegemaran saya di leher, pasti sahaja saya teringatkan saat itu. Kehangatan ukhuwwah benar-benar terasa.
Malam ini, fikiran saya banyak menerawang. Kejap-kejap ke sana, kejap-kejap ke sini. Walhal banyak lagi kerja menanti untuk disiapkan.
Tidak semena-mena, fikiran ini terbang melayang ke sudut-sudut bumi yang telah saya tinggalkan.
KMB!?
Balik-balik KMB..Balik-balik KMB…
Jika diamati, agak ramai juga teman-teman saya menceritakan pengalaman dan memori masing-masing di Kolej Mara Banting di blog masing-masing. Bagi teman pembaca yang bukan bergelar ex-kmb, entah-entah ada sahaja yang sudah bosan melihat senario ini.Hmm..mengapa ya?
Bukan untuk mendabik dada untuk menjulang nama KMB. Tidak sama sekali.
Namun, jauh dalam dasar hati, di sinilah tercoretnya seribu kenangan yang mengajar dan mendidik saya menjengah ke alam kedewasaan. Mula mengenal erti kepayahan, kegagalan dan kejatuhan. Namun, lebih indah lagi apabila terdapat cebisan kebangkitan, kejayaan dan nikmat persahabatan yang sedia menanti di hujung perjalanan.
Di sini jugalah saya menemui “CAHAYA KEIMANAN”. Saya menemui SEORANG NURUL IMAN.
Satu demi satu sudut di bumi Banting menerjah ke benak fikiran.
Kian, kenangan lama mula menjengah halaman sanubari…

Kita pernah berhempas pulas bersama tanpa jemu walaupun ujian sering menduga tanpa dipinta..Masih ingatkah dirimu tentang saat itu?

Iman, nampak tak di celahan awan tu, ada kapal terbang? Dulu, kita pernah menyimpan impian untuk terbang bersama-sama kan? Iman ingat lagi tak?
………………………………………………………………………………………………………………………..
5 Disember 2008.
Pasti sahaja tarikh ini amat dinanti-nantikan oleh teman saya yang seorang ini. Bukan sahaja hari tersebut merupakan dia bakal menamatkan spotter test (moga dipermudahkan), malah hari tersebut juga merupakan tarikh keramat yang pasti menggamit rasa.
Selamat Hari Lahir Nurul Iman!
Lama betul rasanya kita tak berbual-bual panjang kan Iman? Masa di Malaysia, hanya sempat bertemu ketika majlis suai kenal bersama adik-adik Intec, itu pun tak lama. Tapi tak mengapa sebab walau apa pun, Iman tetap antara sahabat yang kita paling sayang, selesa dan percaya.
Walaupun kita dah lama tinggalkan KMB, tapi kita syukur sangat sebab Allah bagi kita peluang untuk meneruskan perjuangan mengejar impian yang pernah kita kongsikan bersama dahulu. Tapikan Iman, perkara yang paling manis ialah, Allah bagi kita peluang untuk kita sama-sama meneruskan langkahan di atas jalan ini di bawah sinaran tarbiyah dan keindahan ukhwah.
Wahai teman yang dikasihi,
Pada hari lahirmu ini,
Kudoakan agar Allah sentiasa memayungi dirimu dengan rahmah dan barakah.
Tetaplah diri sebagai Nurul Iman yang kukenali,
Tabah dan kukuh walau apa pun badai kehidupan yang menyapa diri.
Sekalung doa kutitipkan untuk temanku yang dirindui,
Moga jalan yang kita tempuhi ini membawa diri ke syurga abadi.
Lagi cerita hati,
iman muslihah
5 disember 2008, 1.36 am










Recent Comments