“Ada yang tahu ini berapa?! ” suara parau guru tua itu memecah keheningan bayu laut.

“Tiga ratus tiga belas!! ” jawab kanak-kanak itu serentak.

“Betul!! Tiga ratus tiga belas tentera Islam itu mengalahkan ribuan tentera Quraisy bersenjata lengkap,”.

“Anak-anakku,kekuatan itu dibentuk oleh iman. Bukan oleh jumlah tentera! Jadi, ingatlah anak-anakku, teguhkan pendirianmu, kalian harus punya ketekunan!”.

“Harus punya keinginan yang kuat untuk mencapai cita-cita!”.

“Kalian harus punya keberanian dan pantang menyerah menghadapi tentangan apa macam pun!”

“Dan ingat!!…”

“Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya..bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya..,”


Hening.

Filem arahan Riri Riza ini  amat menggamit perasaan kecil saya. Mengingatkan saya kembali kepada kenangan lama yang pernah menjenguk dalam diari hidup saya.

Helaian diari hidup yang diserikan dengan kehadiran wajah-wajah kasih yang “memberi” tanpa jemu.

Saya tersenyum sendiri.

……………………………………………………………………………………………………………………………………………

Menyorot kenangan lampau di Kolej MARA Banting, 2 tahun yang lalu.

Sekitar jam 7 pagi .

Ruang legar Kolej MARA Banting.  Masih sunyi. Masih lengang.

Jam 7 pagi  bukanlah waktu yang bisa menemukan ramai pelajar Kolej Mara Banting berlegar-legar di persekitaran kolej. Kebanyakan pelajar masih di ruang asrama. Sama ada sedang bersiap-siap mengenakan pakaian untuk ke kelas atau ada  juga yang masih menanti giliran di bilik air. Tidak kurang juga ada yang masih dibuai mimpi yang indah.

Namun, di sebalik kesibukan pelajar yang masih  terkial-kial di asrama, satu sudut di bilik guru , terdapat kelibat seorang insan mulia  yang sudahpun bersiap siaga meneliti persedian untuk menabur benih bakti.

Benih ilmu. Demi anak-anaknya.

Bukan anak kandung. Tetapi anak bangsa tercinta.

Puan Surinam Binti Hassan. Guru Mathematics yang sudah melewati awal 40-an itu amat sinonim dengan perwatakan yang tegas. Ada juga yang mengatakannya garang. Serius dan bermacam-macam lagi.Berjiwa tegar. Enough said.

Namun, wanita cekal ini mempunyai kedudukan yang  sungguh istimewa di hati saya.

Darah pendidik menjalar dalam setiap urat sarafnya dan kecekalannya mengajar amat meruntun hati dan perasaan saya.

Saban hari, dia memberi…memberi..dan memberi….

Tanpa jemu. Walau sedikitpun.

……………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Selamat datang ke dunia baru!

Di Kolej MARA Banting, siapa tidak tahu penangan Mathematics IB Higher Level? Semua sedia maklum tahap cabaran yang agak kronik melanda kehidupan setiap pelajar KMB. Subjek ini bukan subjek calang-calang. Justeru tidak hairanlah jika angkatan laskar yang menerajui jabatan ini berjiwa besi . Tidak dinafikan,kebanyakan guru di Mathematics Department memang bersemangat kental. Berperwatakan serius.Menariknya majoriti daripada mereka adalah guru wanita. Memang mengagumkan. Malah, ada pelajar yang berseloroh, “Kalau lalu di Maths Department, rasa macam bulu roma aku ni meremang,”.

Melanjutkan pelajaran ke negara pilihan adalah impian setiap pelajar di KMB. Namun, sesiapa yang mahu ke luar negara, ada pra-syarat yang mesti dipenuhi, antaranya; mesti score subjek Mathematics Higher Level (terutamanya untuk pelajar perubatan dan kejuruteraan).Suatu perkara yang bukan boleh dibuat main-main atau senda gurauan. Satu misi yang menuntut kesungguhan daripada pelajar  dan sokongan daripada tenaga pengajar yang tidak berbelah bagi.

Bertitik tolak daripada inilah, pada hemat saya, guru-guru ini menjadi serius sebagai suatu “proses adaptasi” terhadap bebanan  kerja yang membawa mereka  untuk melangsaikan satu matlamat.

Matlamat  untuk membantu pelajar mencapai impian mereka, melanjutkan pelajaran ke luar negara. Matlamat yang menuntut mereka untuk berhempas pulas mengajar anak didik mereka sehingga faham, bersengkang mata menanda course work pelajar serta sanggup mengorbankan masa lapang di luar waktu persekolahan dengan sesi clinic hours hingga lewat petang. Tidak keterlaluan jika saya mengatakan, mereka adalah guru yang “tidak pernah malas” mengirimkan “ole-ole homework” yang menggunung untuk pelajar tatkala cuti sekolah menjelang tiba.

Saya merupakan pelajar dalam kategori “biasa-biasa” di KMB. Bagi pelajar berstandard “average” seperti saya, tidak mudah untuk saya lalui cabaran yang telah dihamparkan sepanjang dua tahun saya di sana.  Saya bukanlah tergolong dalam kumpulan pelajar elit. Genius, apatah lagi. Jauh panggang dari api.

Ketika itu, mengenangkan betapa susahnya saya untuk “survive” di kalangan kelompok pelajar cemerlang di sana menyebabkan  saya  merasakan tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara oleh MARA ini hanyalah bersifat kebetulan. Bukan atas dasar kelayakan yang saya ada.

Namun, pada hakikatnya tiada satupun bersifat kebetulan atas bumi ini. Semuanya dirancang dengan cantik dan punya ibrah yang perlu dipelajari.

Lalu, merangkak-rangkaklah saya mengejar rakan-rakan lain yang lebih pintar. Pernah juga untuk cuba berlari, namun entah berapa ribu kali saya tersungkur, kemudian terluka. Lalu terhamburlah air mata untuk barang seketika.

Kemudian, bangkit lagi..merangkak kembali…perlahan-lahan mengatur langkah untuk berjalan. Jika ada peluang, saya cuba juga untuk curi-curi berlari. Namun, seperti biasa senang sahaja kaki tersadung dan tersembam jatuh ke bumi.Dan luka kembali.

Itulah antara kitaran hidup yang membelenggu hidup saya suatu ketika dahulu. Sehingga kadangkala diselubungi inferiority complex.

Guru, memimpin tangan anak bangsa untuk mendaki tangga-tangga kejayaan.

Guru, engkau memimpin tangan anak bangsa untuk mendaki tangga-tangga kejayaan.

Pada saat ini, muncullah seorang insan berhati mulia yang tidak pernah jemu meniupkan api semangat untuk saya bangun semula. Kata-kata dan semangatnya cukup untuk membuatkan saya bangkit walau badan sudah penat merintih. Bangkit walau sebanyak mana pun luka yang telah menoreh perasaan.

Dia hadir ibarat sang bulan purnama yang terang. Dia menyinari kegelapan malam yang menakutkan.

Dialah guru saya, dunia dan akhirat. Puan Surinam Binti Hassan.

Sukar untuk saya gambarkan liku-liku kehidupan yang saya hadapi pada episod hidup yang lalu dalam perkataan dan penulisan. Bertubi-tubi usaha yang saya curahkan, namun kelihatannya nasib saya masih belum berganjak. Saya perlu berusaha 2-3 kali ganda melebihi rakan-rakan saya untuk memperoleh apa yang mereka dapat dengan sekali percubaan.Sungguh menyakitkan. Astaghfirullah..

Saya masih ingat tatkala saya dirundung kemurungan yang teruk akibat betapa payahnya untuk mendapat markah yang baik dalam ujian, dialah yang mengusap-usap belakang saya. Memujuk saya. Merenung ke dalam mata saya dalam-dalam. Menggenggam tangan saya erat-erat.Menghadiahi saya dengan kata-kata semangat.

Dia juga yang sanggup melayan saya setiap pagi, tatkala bangunan akademik masih lengang. Dia mengajar apa yang saya tidak tahu. Tabah menunjukkan apa yang saya tidak faham. Kemudian, pada waktu rehat dan petang, sekali lagi dia tidak jemu menghadap muka saya yang sering berdiri terpaku di mejanya. Tidak cukup dengan itu, dia sanggup mengorbankan hujung minggu untuk memenuhi permintaan saya yang perlukan tutorial tambahan. Ya Allah..berdosanya saya kerana sering menyusahkannya! Maafkan saya cikgu! Maafkan saya kerana mementingkan diri!

Kesusahan sebenarnya merupakan guru terbaik yang mengajar manusia tentang survival hidup. Menyorot episod kehidupan yang lalu, pengalaman university application adalah pengalaman yang paling mengusutkan fikiran saya. Hinggalah ke saat akhir menjelang 2-3 minggu sebelum peperiksaan, saya hanya memperoleh satu tempat, iaitu University of Sheffield. Itupun hanyalah atas tiket “waiting list”. Belum tentu diterima.

Namun, yang paling menggoncang iman adalah  apabila seminggu sebelum hari peperiksaan, saya dilayangkan sekeping surat confirmation daripada universiti bahawa waiting list saya sebelum ini dimansuhkan dan secara rasminya saya kehilangan placement ke UK.

Kepada siapa lagi yang boleh saya luahkan perasaan selain ibu bapa saya, hanya kepada Puan Surinam sahajalah yang benar-benar memahami apa yang saya rasai. Masakan tidak, hanya dialah yang benar-benar menyaksikan jatuh bangun saya yang sudah amat letih bergelut setiap hari. Saya tidak canggung lagi menangis teresak-esak di hadapannya. (ketika itu, tiada seorangpun rakan baik saya yang tahu tentang perkara ini.)

Saya masih ingat ungkapan kegemarannya adalah, “Selagi mana kita ada masa, jangan putus ada! Siapa tahu, mungkin dengan masa dan usaha yang berbaki ini, bila-bila masa sahaja Allah boleh ubah masa depan kita. Sekelip mata sahaja dia boleh ubah!  Keep going..No matter what happens, life must  go on..Don’t give up!”

Yes! Keep going..Don’t give up!

………………………………………………………………………………………………………………………………………………..

Sheffield, United Kingdom.

13 Mei 2009.


ddsd

Hari ini langit tidak berwarna cerah.  Awan menitiskan air dingin. Tiada kedengaran bunyi burung yang berterbangan seperti hari-hari semalam. Sunyi.

Entah mengapa hati ini terdetik untuk menitipkan sesuatu di ruangan Halawatul Iman. Tarikh 16 Mei yang bakal menjelang seolah-olah memanggil memori lama datang bertandang.

Sesungguhnya takdir Allah amat unik. Hari ini, saya berada di bumi yang pernah membuatkan saya hampir patah hati dan hilang semangat. Hampir sahaja saya cuba memadamkan impian yang telah saya pasang sejak kecil lantaran cabaran yang maha hebat menghimpit diri.

Akan tetapi, benarlah kata orang, kata-kata guru itu merupakan doa. Kata-kata guru bukan kata picisan yang boleh diperlekehkan. Sungguh ajaib penangan insan bernama guru.

Mengimbau saat lalu setelah mendapat perkhabaran yang sungguh menyakitkan, berkat galakan daripada ibu bapa dan guru-guru (khasnya Puan Surinam), saya bangkit. Tidak lagi memandang ke belakang.

Rezeki Allah berada di mana-mana. Itu tekad saya.

Tinggalkan masa lalu. Buang yang kelabu. Ambil semangat baru. Itu tekad saya.

Jangan putus asa. Hidup mesti diteruskan. Itu tekad saya.

Usaha biar sampai ke titisan darah terakhir. Itu tekad saya.

Alhamdulilah, setelah sekian lama mengharungi jatuh bangun yang tidak pernah bertitik noktah, akhirnya keputusan peperiksaan International Baccaluareate yang diumumkan amat-amat memeranjatkan saya. Syukur Ya Allah. Syukur Ya Allah. Syukur Ya Allah.

Kali ini, saya benar-benar tidak memandang ke belakang lagi. “Selagi ada masa, usaha! Jangan menyerah kalah!” Itu kata-kata keramat guru kesayangan saya. Ya, saya tidak putus asa, saya memberanikan diri untuk membuat “clearing application” , iaitu membuat rayuan terakhir untuk memasuki mana-mana universiti di UK.  Alhamdulilah,  setelah berusaha dengan pihak universiti dan menanti berminggu-minggu, Allah mengirimkan berita gembira melalui surat tawaran “Unconditional Offer” ke University of Sheffield tepat pada hari Graduasi IB. Allahuakbar!

Lantas, guru pertama yang saya hubungi sudah semestinya guru yang tidak pernah letih menghulurkan bantuan dan semangat. Terima kasih cikgu! Terima kasih!

Kenangan lalu amat membantu saya melalui hari-hari yang mendatang di rantau orang. Ketabahan dan kekuatan hanya akan diperolehi melalui kesusahan dan ujian. Menariknya, kisah saya ini entah bagaimana tersebar di kalangan adik-adik junior, terutama yang menghadapi saat getir dalam permohonan ke UK universities. Natijahnya, saya sering dihubungi mereka dan meminta agar dikongsikan pengalaman dan cara untuk survive penempatan universiti di UK.

Pernah suatu ketika saya berbual-bual dengan seorang junior di Nottingham, Izreena bertanyakan sesuatu yang mengejutkan saya,

“Kak, kenal tak ada seorang senior ni, nick name dia iman_muslimah,”

“Hmm..iman_muslimah tak kenal, iman_muslihah, kenallah. Kenapa dengan kakak tu?” saya cuba mencungkil maklumat. Berpura-pura tidak mengenali iman_muslihah.

“Oh..ni haa..adik-adik junior kat KMB cakap, senior ni boleh tolong sesiapa yang tak dapat placement. Dia boleh dapatkan placement untuk diorang! Diorang nak kenal siapa kakak ni, nak minta tolong daripada dia”

“Hah!!? “

Terkejut saya. Siapalah pandai-pandai tambah perisa dalam  kisah saya ni. Habis terpesong jalan cerita.Huhu.

Adik-adik, rezeki itu bukan kita yang kawal, tapi Allah yang bagi. Kita sebagai manusia hanya boleh berusaha. Selainnya, kita serah pada Allah. Jangan salah konsep ya?

Saya teringat kata-kata Datuk Dr Fadzilah Kamsah, untuk ceria, kita kena ceriakan orang lain. Untuk dicintai, kita kena mencintai orang lain. Maka untuk menguatkan semangat diri, kita kena kuatkan semangat orang lain juga.

Atas dasar itu, untuk membebat luka di hati, saya suka menguatkan semangat sendiri dengan menguatkan semangat orang lain. Ketika musim peperiksaan dan “university application” mula menekan, ada di kalangan rakan-rakan seperjuangan yang sudah mula menunjukkan simptom hilang semangat. Disebabkan ketika itu, saya amat “gila” membuat video untuk program, lalu saya hadiahkan video ini untuk mereka. Masih ingatkah kalian? (Ya Allah, rindunya pada rakan-rakan saya ini).

Segenggam tabah. Walau ketabahan hanya tinggal segenggam, bertahanlah! Jangan hanyut dalam keputus asaan.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………..

Guru, dulu , kini dan selamanya.

dss

Guru adalah antara manusia yang paling berjasa dalam sejarah kehidupan manusia. Tidak kiralah, guru tadika, guru sekolah rendah, guru biology, guru matematik, hatta guru pendidikan jasmani sekalipun, selagi mana mereka bergelar guru, ada semangat mereka yang mengalir dalam tubuh badan kita. Ada jasa mereka dalam darah daging kita.

Ada yang memanggil guru dengan panggilan cikgu, muallim,  mudarris, lou shi, sifu, sensei, dan bermacam lagi. Sebanyak manapun panggilan untuk guru, tujuan mereka adalah sama, iaitu untuk mendidik anak bangsa. Namun, saya cuba untuk mendalami maksud perkataan  “guru”  dalam konteks yang lebih luas. Melalui pengamatan saya menerusi  istilah bahasa Arab,  kriteria seorang guru itu digabungkaan dalam 5 konteks iaitu, muallim, murabbi, mursyid, muaddib dan mudarris (5 M).

Muallim bermaksud orang yang menjayakan proses menyampaikan ilmu, murabbi ( orang yang menjayakan tarbiyah) ,  mursyid (orang yang membimbing, menentukan kehidupan dan nilai yang betul), muaddib ( orang yang menjayakan adab) serta mudarris ( orang yang mengajar mata pelajaran).

Masyaallah, betapa besarnya erti hidup seorang guru. Besarnya peranan mereka dalam pembanguan insan. Menjadi guru tidak hanya sekadar berlegar-legar dengan isu ilmu tetapi juga membabitkan dinamika tarbiyah manusia.Rupa-rupanya mereka hidup bukan sekadar untuk memberi, tetapi lebih daripada itu.

Mereka memberi dengan mengorbankan diri.

Mereka menerangi dengan membakar diri.

Mereka adalah pahlawan senyap yang berjuang untuk kita.Kesatriaan mereka adalah antara penyebab kejayaan kita pada hari ini.

Apabila kita bercakap tentang guru, kita sebenarnya bercakap tentang salah satu tugas dan peranan rasul. Para rasul mendidik umatnya dan mengeluarkan umatnya daripada kegelapan jahiliyyah. Begitu juga dengan guru, berperanan mendidik anak murid menjadi orang yang berilmu dan berguna.Kalau Rasullulah menyifatkan dirinya sebagai seorang guru, maka ini adalah petanda jelas bahawa betapa mulianya darjat seorang guru.

Guru itu mempunyai kemuliaan tersendiri di sisi islam. Guru adalah tempat mengalirnya ilmu ke dalam jasad dan minda manusia. Ilmu yang dimiliki oleh guru, adalah hikmah dan permata yang amat bernilai. Lantas kita mesti mengambil dan memilikinya . Pernah Rasulullah s.a.w bersabda:

“Hikmat itu umpama barang yang hilang milik orang yang beriman, ambillah hikmah itu daripada siapa sahaja yang engkau mendengarnya, tidak kira daripada mana tempat terbitnya hikmah itu”.

Mengambil hikmah sahaja tidak cukup. Kita perlu menzahirkan rasa syukur memperolehi hikmah itu melalui rasa hormat dan kasih kepada guru. Tidak mungkin jasa guru mampu dipadamkan oleh sejarah. Selagi ada generasi, selagi itu jasa guru akan terus mengalir dan bersambung merentas generasi manusia. Sumbangan mereka tidak pernah putus. Sekali dia menjadi guru, selama-lamanya dia akan dikenang sebagai guru. Jika dahulu dia menjadi guru, mungkin esok lusa, dia akan menjadi guru kepada anak-anak kita pula.

Guru memang insan yang istimewa. Hingga ke liang lahad pun, gelaran “cikgu” tidak akan hilang dikambus tanah. Apatah lagi jasa mereka yang teramat besar dan bermakna. Semoga Allah merahmati mereka yang bergelar guru.

“Ya Allah, kurniakan mereka dengan syurga-Mu! Temukan kami dalam taman Firdausi-Mu!”.

………………………………………………………………………………………………………………………………………

Biar sampai ke Syurga.

Sudah menjadi adat, pelajar datang dan pergi. Tidak seperti guru. Mereka akan tetap berada di situ, setia menanti anak-anak didik datang kepada mereka untuk menagih ilmu dan kasih sayang.

Sungguhpun sudah bertahun kita meninggalkan bangku sekolah/kolej, ketahuilah setiap satu kejayaan yang kita peroleh hari ini tidak akan tercapai jika tidak dengan jasa  dan pengorbanan guru-guru kita yang terdahulu. Justeru kasih mereka tidak pernah terhenti tatkala kita meninggalkan sekolah kerana gegak gempita semangat mereka mengiringi setiap helaan nafas kita.

Jangan sesekali penghargaan kita terhadap mereka bersifat bermusim.

Jangan sesekali kasih sayang kita terhadap mereka bersifat sementara.

Jika ada kesempatan masa dan upaya, hubungi mereka selagi hayat masih dikandung badan. Bagi yang sudah tiada, hadiahi mereka dengan doa dan sekalung fatihah.

Cintai dan hargai mereka dengan seikhlasnya.

Moga bunga-bunga cinta dan perhargaan kita ini akan terus mekar mewangi.

Biar mekar mewangi hingga sampai ke syurga.

hhshghdg

selamat hari guru, cikgu!

iman muslihah

19 Jamadil awal 1430 H.

Sheffield, UK.