Bismillahirrahmanirrahim

29 Jun 2009.

Esok merupakan hari pertama saya ditempatkan di Elderly Care di Nothern General Hospital untuk clinical attachment saya. Sudah lama sebenarnya saya tercari cari peluang untuk berada dekat dengan golongan ini untuk saya mempelajari sesuatu tentang kehidupan.

Warga Emas. Begitulah gelaran diberi. Mengapa emas? Kerana sumbangan yang telah dicurahkan sewaktu hayat muda mereka adalah terlalu berharga. Saya kira, sebenarnya nilai emas sendiri tidak dapat menandingi walau sezarah pun sumbangan mereka. Masakan tidak, majoriti golongan emas ini adalah ibu-ibu dan bapa-bapa kepada sejumlah warga muda yang ada kini. Di dunia ini, tiada apa yang dapat menandingi hebatnya kasih sayang ibu dan ayah kecuali Tuhan Pencipta ibu dan ayah itu sendiri.

Walau apapun, sepanjang saya berada di sana nanti, saya mengharapkan agar saya akan mengutip sesuatu yang lebih bermakna daripada sekadar bersifat medical knowledge. Entah mengapa saya dapat merasakan bahawa  saya akan menemukan suatu ‘ibrah tentang kehidupan yang sukar untuk saya dapati  di mana-mana. Naluri barangkali.

Berdebar juga rasanya untuk berdampingan dengan warga emas ini. Nampaknya saya perlu menajamkan kemahiran interaksi dengan golongan emas ini. Jika ditempatkan di wad kanak-kanak, mungkin saya tidak berdebar seperti ini. Huhu.

Mungkin perlu menajamkan skill menjaga warga emas pula. :-)

Mungkin perlu menajamkan skill menjaga warga emas pula. :-)

Sudah menjadi sunnatullah, kehidupan manusia di bumi, bermula janin, bayi, kanak-kanak, kemudian dewasa. Apabila usia semakin bertambah, badan pula semakin lemah. Pandangan menjadi kabur, sendi menjadi sengal-sengal, badan semakin membongkok dan kulit berkedut seribu. Apabila tiba masanya Izrail berkunjung, kubur pula menjadi destinasi persinggahan seterusnya.

Saya teringat sewaktu kecil, ibu dan ayah saya menjaga arwah nenek dan datuk saudara saya di rumah hingga ke akhir hayat mereka. Betapa susahnya ibu dan ayah saya menjaga mereka yang menghidap angin ahmar, Allah sahaja yang tahu. Dimandikan , diberi makan, dipakaikan pakaian persis seperti menjaga bayi. Subhanallah, terkadang saya takut untuk menjadi dewasa kerana menjadi dewasa bermakna saya akan melihat ibu dan ayah saya menjadi tua.

Terkadang, saya takut saya tidak mampu menjaga orang tua saya seperti mana mereka menjaga kami adik beradik dari kecil hinggalah dewasa.

Saya takut jika saya melepaskan keluhan kecil ketika menjaga ibu dan ayah saya yang sudah tua.

Saya takut jika saya merasa geli untuk membersihkan najis ibu dan ayah saya jika ditakdirkan mereka tidak mampu untuk membersihkan diri kelak.

Saya takut jika saya merasa lemas dengan pertanyaan ibu dan ayah saya yang asyik bertanya soalan yang sama berulang-ulang kali .

Saya takut

Saya takut...

Saya takut...

Ya! Saya takut jika saya menjadi anak derhaka! Nauzubillah!

Mak ayah, nantikan kepulangan anakmu ke tanah air tidak lama lagi!

Terlalu rindu untuk mengucup wajah kasih kalian!

Kerinduan,

iman muslihah

Sheffield,UK.

5 Rejab 1430 Hijrah.