Mei 2009
Sheffield, UK.
Sebuah lukisan untuk Kak Han.
Sudah beberapa bulan lamanya kakak seusrah saya, Kak Han melangsungkan pernikahan,malang sekali saya masih belum berkesempatan memberikannya hadiah perkahwinan. Jujurnya, saya kurang gemar sekadar membeli hadiah di kedai untuk diberikan kepada orang yang saya kasihi dan hargai. Walaupun harganya mahal manapun, selagi ianya “bulat-bulat” dari kedai, saya tidak akan merasa puas.
Puas saya berfikir hadiah apakah yang inging saya bingkiskan untuk insan istimewa ini. Sehinggalah suatu hari saya terlihat kertas kanvas dan berus lukisan yang dijual di sebuah kedai alatan tulis.
Ya! Lukisan! Saya akan hadiahkannya sebuah lukisan.
Sebuah lukisan daripada sekeping hati.

lakaran awal

Calitan warna sulung

calitan demi calitan warna

kemasan terakhir untuk Kak Han
Sejak kecil, saya suka melukis dan mewarna.
Saya sudah mmengumpul trofi pertandingan melukis dan mewarna sedari berumur 6 tahun. Malah, ketika berumur 9 hingga 12 tahun, saya mengikuti kelas lukisan secara serius kendalian seorang guru berbangsa cina. Cikgu Chew namanya.
Namun, kami tidak memanggilnya dengan panggilan cikgu Chew. Sebaliknya, kami memanggilnya sebagai “cikgu Botak” kerana sememangnya dia seorang yang berambut sedikit!
Saban minggu saya tekun menghadiri kelas itu. Bermula dengan mempelajari teknik melukis, mewarna menggunakan crayon, kemudian beralih kepada warna poster dan akhirnya warna air.
Saya membesar dengan lukisan. Saya dewasa dengan tona warna yang pelbagai.
Saban tahun saya tidak pernah ketinggalan untuk menyertai pertandingan lukisan. Jika tidak menang tempat pertama, tempat kedua atau ketiga selalu ada dalam tangan. Cuma, apabila saya mula menjengah remaja dan berpindah rumah, saya tidak lagi ke kelas lukisan. Dan tahun 1999 merupakan tahun terakhir saya menyertai pertandingan melukis. Dan tahun 1999 itulah juga merupakan kali terakhir saya menemui Cikgu Botak.
Setelah itu, tanpa saya sedari, saya sudah mula jarang memegang berus lukisan.

- kenangan yang telah berlalu..
……………………………………………………………………………………………………………………………………….
Mengimbau kenangan semasa kecil, ia benar-benar mengusik memori. Zaman kanak-kanak adalah zaman yang amat menyeronokkan. Ketika ini, saya mula mengenal kehidupan melalui kaca mata kanak-kanak yang telus. Melalui lukisan, saya mengenal alam dan warnanya.
Pokok, matahari, sungai, bunga , tanah , kucing, lembu dan banyak lagi. Kesemuanya ada warna-warna yang tersendiri.
Ketika saya masih kanak-kanak ( sekitar 5-6 tahun) , sebelum mewarna , cikgu saya akan berpesan:
“Jangan salah warna ya. Daun warnanya mesti hijau. Tanah warnanya coklat. Sungai warnanya biru. Bunga pula warnanya merah,”
Kemudian apabila saya memasuki sekolah rendah, pesanan guru mula semakin advance..,
“ Bila kamu mewarna ni kalau boleh jangan mono tone, buat kombinasi warna. Macam daun, janganlah kamu tenyeh warna hijau alat-alat, buat campuran warna kuning sikit ataupun coklat. Tanah pun sama, jangan kamu main sapu je warna coklat. Cuba kreatif sikit, gunakan warna-warna natural, buat tona warna. Kalau ada bayang-bayang, gelapkan sikit bahagian tu,” .
Apabila umur mula menginjak dewasa, pewarnaan lukisan mula semakin kompleks dan abstrak..
“Cuba perhati betul-betul lukisan ini. Banyak bangunan usang dan buruk. Tiada jalan tar, penduduknya masih menggunakan basikal. Tiada pembangunan. Cuba awak bayangkan ini adalah pekan lama yang ditinggalkan. Yang ada cuma orang-orang tua sebab anak-anak mereka semua berhijrah ke bandar. Jadi, bila mewarna, gunakan perasaan kamu. Bayangkan macam mana perasaan orang-orang di situ dan juga “perasaan” pekan itu sendiri. Contonhnya elemen warna perasaan yang suram, sunyi, mendung, dan sebagainya” .

- Kadang kala, alam yang berwarna warni mampu bertukar kelabu.
Begitulah fasa pendidikan seni lukisan yang saya lalui. Daripada fasa elemen warna yang asas dan mudah, kemudian beralih kepada fasa elemen warna yang kompleks dan abstrak. Satu “proses pendewasaan” yang saya lalui menerusi lapangan pewarnaan ini.
Jika dahulu, mewarnakan alam dirasakan begitu mudah sekali. Semua bunga warnanya merah, hijau segar mewarnai helaian daun dan langit indah dengan birunya .
Tetapi apabila usia meningkat dan pandangan semakin luas, saya menyedari bahawa betapa tidak semua bunga itu ceria dengan merahnya, daun boleh bertukar layu kekuningan dan terkadang langit berubah menjadi kelam .
Dan sebalik variasi warna alam buana ini, ia membawa mesej pengajaran kehidupan yang amat berguna. Keunikan alam buana yang mengalami transformasi warna ini membiaskan ‘ibrahnya terhadap kehidupan.
…………………………………………………………………………………………………………………………………..
Warna-warni Kehidupan.

Warna asas terdiri daripada 3 komponen. Merah, biru dan kuning. Ia dikenali sebagai warna primer.Warna primer tidak dapat dihasilkan melalui campuran warna-warna lain. Gabungan warna-warna ini kemudiannya membentuk warna sekunder dan tertier.
Warna sekunder
| warna asas | Campuran | Warna Asas 2 | Hasil Warna |
|---|---|---|---|
| Merah | + | Kuning | Jingga |
| Kuning | + | Biru | Hijau |
| Biru | + | Merah | Ungu |
warna tertier
| Warna Asas | Campuran | Warna Sekunder | Hasil Warna |
|---|---|---|---|
| Kuning | + | Hijau | Kuning Hijau |
| Kuning | + | Jingga | Kuning Jingga |
| Merah | + | Jingga | Merah Jingga |
| Merah | + | Ungu | Merah Ungu |
| Biru | + | Ungu | Biru Ungu |
| Biru | + | Hijau | Biru Hijau |
Maka, terhasil kolaborasi warna-warna yang indah. Warna-warna inilah yang menghidupkan sesebuah lukisan yang nilainya mampu mencecah jutaan ringgit.
Kehidupan dapat dianalogikan seperti sebuah lukisan.
Manusia selalu mengimpikan kesenangan, kejayaan dan kebahagiaan. Ia menjadi warna asas dan fitrah manusia. Namun alangkah muramnya lukisan kehidupan manusia jika spektrum warnanya hanya berkisar pada warna-warna asas sahaja. Ia seperti sabuah prisma kaca yang bening dan sunyi.
Lalu, Allah datangkan sekawan warna-warna sekunder lain; warna-warna kepayahan, kegagalan, kesakitan, kelaparan dan ketakutan.
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah buahan.
Jika kita mempertaruhkan warna ketabahan dalam menempuhi ujian yang berliku, maka akan terbentuklah warna-warna tertier yang lebih indah iaitu warna kematangan dan warna kekuatan. Ketahuilah, warna-warna ini hanya dapat diraih melalui jalan sabar.
Dan berikanlah berita gembira kepada orang orang yang sabar, (yaitu) orang orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan : ‘Innaa lillahi wa inna ilaihi raaji’uun’. Mereka itulah yang mendapatkan keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Rabbnya, dan mereka itulah orang orang yang mendapat petunjuk.” (QS. Al Baqarah : 155 – 157).

- Hari terakhir dia berada di Sheffield.. Kak, moga tabah!
Bercakap tentang sabar dan tabah, saya mempunyai sekumpulan sahabat yang hebat. Mereka menjadi hebat kerana mereka merupakan antara orang yang sabar menempuhi ujian hidup masing-masing. Seperti emas, ia perlu dicairkan dengan api yang membahang untuk membentuk perhiasan yang indah. Seperti berlian, ia perlu diketuk dengan besi untuk menjadi bentuk yang menawan. Itulah kehidupan, semakin banyak kesakitan dan ujian, semakin tinggi nilai dan harganya. Tidak salah untuk kita mentadabbur kisah kehidupan orang lain yang penuh liku untuk memberi kekuatan kepada diri sendiri:
kisah 1: Finally there (Not the primrose path- Dr. Mas Afzal Masaruddin )
kisah 2: Pena telah terangkat lalu dakwat pun kering. ( inspirasi – kak siti saliza )
kisah 3: I was trying to make an ordinary miracle. ( nur ilahi – as ).
……………………………………………………………………………………………………………………………………………….
5.30 petang , 17 Ogos 2009
Muar, Johor,
Malaysia.
“Mak, mak..kenapa Angah (bukan nama sebenar) tak bangun-bangun ni?” saya mula kaget.
Petang itu, kami sudah bersiap-siap untuk ke Kuala Lumpur International Airport (KLIA) Sepang. Saya dijadualkan terbang kembali ke United Kingdom pada 18 Ogos 2009, jam 2.00 pagi waktu tempatan.
Namun ada sesuatu yang lebih menarik telah Allah “jadualkan” untuk saya dan keluarga.
Saya sentuh tangan dan kaki adik saya yang tidak sedarkan diri itu. Sejuk.
Saya mula panik.
Ibu datang dengan semangkuk air, lalu direnjiskan ke muka adik saya. Ditampar-tampar lembut pipinya sambil memanggil-manggil namanya.
Masih tiada respon.
Ayah mula membisikkan ayat-ayat suci di telinganya. Riak wajah ayah lebih tenang daripada ibu, namun rasa di hati siapa yang tahu?
Jarum jam berlari laju meninggalkan ruang-ruang masa. Saya mula resah. Di hadapan mata, kelibat pesawat EK424 seperti memanggil-manggil. Namun, hati saya masih berpaksi pada wajah adik saya yang pucat dan masih tidak sedarkan diri. Menatap tubuh bisu yang tidak berdaya itu benar-benar telah menyiat-nyiat tangkai hati saya.
Saya menarik nafas panjang. Saya nekad.
” Ayah, Wani balik hari lain je lah. Tangguhkan flight. Kita hantar dia ke hospital,” saya membulatkan keputusan.
Sepanjang waktu adik saya dalam pemeriksaan doktor di hospital, saya banyak bermenung. Kini hampir dua tahun adik saya menderita dengan penyakitnya. Sejak pemergian saya ke luar negara, ibu dan ayah yang banyak bersabar menjaganya. Hampir 3 minggu saya bercuti di sini, saya amat bersyukur kerana dapat berkongsi merasai secebis kesukaran ibu dan ayah saya menjaganya. Maladeni kerenahnya yang pelbagai. Ia amat menguji.
Jangan ditanya penyakit apa, kerana kami sendiri tidak tahu apakah puncanya.Perubatan moden mahupun tradisional telah puas dicuba. Sudah beribu wang ringggit dihabiskan, sudah beberapa negeri dijelajahi untuk mencari penawarnya. Namun, segala-segalanya masih berada dalam rahsia Allah.
Biarpun sudah banyak air mata yang tumpah, kami akur. Kami redha.
…………………………………………………………………………………………………………………………………………..
Hargai Warna Kehidupanmu
Sepertimana alam, kehidupan juga mempunyai warna. Bezanya warna kehidupan tidak semudah mentafsirkan warna alam seperti merah, hijau dan biru. Warna kehidupan merupakan satu seni abstrak yang hanya mampu dilihat dengan mata hati. Warna kehidupan mempunyai nilai emosi dan sentimental yang likat.

- Setiap helaian diari hidup membawa makna yang tersendiri.
Dalam diari seorang manusia, tatkala masa merentasi usia, peristiwa demi peristiwa tercatit dalam setiap halaman. Ada halaman melakarkan saat-saat manis yang penuh dengan haruman kejayaan, kekuatan, kebanggaan dan kesihatan. Namun, di celahan lipatan itu, terdapat juga detik-detik yang menyaksikan duri-duri kesakitan, kegagalan , penyesalan dan kedukaan.
Tanpa kita sedari setiap peristiwa ini telah mewarnai setiap helaian dalam diari kehidupan. Setiap peristiwa mewakili satu warna. Menariknya setiap warna hanya ada pada satu halaman, ia tidak akan ditemukan pada mana-mana helaian lain, sama ada helaian sebelum atau selepasnya. Ini kerana setiap peristiwa yang berlaku saban hari tidak akan pernah sama dengan hari-hari sebelum ataupun selepasnya.
Pendek kata, setiap peristiwa yang berlaku memiliki ruang hati dan warna yang tidak akan ditemui pada hari-hari yang lain.
Ia datang bersama detik waktu yang tidak mungkin akan kembali.
Ia datang bukan dengan percuma.
Ia datang dengan memikul segunung rahsia pelajaran yang harus diselongkar oleh manusia.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al Qur’anul Karim, surat Al-Baqarah: ayat 216)
- jjjjjjjjjjjjjjjjjjjjjjjjjjjjjjj
Warna-warni hatiku,
iman muslihah
29 syaaban 1430
muar, johor.





4 comments
Comments feed for this article
August 21, 2009 at 5:12 am
nusaybah_me
Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamualaikum ya ukhti~
Wani, enti apa khabar?
Masya Allah, digerakkan hati ana untuk membaca entry enti kali ini.
Tak pernah ana tahu wani sangat-sangat hebat dalam bab lukis-melukis ni.
Teringat kisah lalu, masa di Maahad, enti bersungguh-sungguh buat hiasan ketam dan hidupan laut yang lain masa form 2 and alhamdulillah, berkat kesungguhan enti dan kekreatifan kurniaan Allah, enti n ana dapat tempat 1st ^ ^.
Rupa-rupanya kreativiti enti tu dah lama wujud, cuma tak diserlahkan lagi.
Wani, tak ada apa lagi yang mampu ana hulurkan ukhti melainkan kesabaran dan ketabahan Asiyah serta semangat Khadijah buatmu.
MOga dirimu terus tabah, serta imanmu diperkental sehingga mendapat tempat tertinggi di sisi-Nya.
Semoga ramadhan kali ini, melahirkan sebuah kemanisan yang tiada taranya.
Ana doakan adik enti semakin sihat, dan Allah permudahkan jalan mengubati serta diberi kekuatan iman dan mental, jasad serta ekonomi buat keluarga enti.
Enti permata keluarga, insya Allah setiap ujian dan liku-liku yang enti lalui ini, semakin menautkan hati enti dan keluarga kepada Allah.
Sampaikan salam buat keluarga. Salam Al-Quds dan salam Ramadhan.
Maafkan salah silap ana, kesepian ana dan juga keterlambatan ana padamu ya ukhti.
Salam rindu dari Newcastle.
August 21, 2009 at 10:57 pm
iman
Salam wanie dearest,
betul ckp ezzathy, lukisan tu sangat cantik
and i’ve known u as a strong person, inside out. my prayers are always with u. moga kesabaran wanie sekeluarga tiap detik itu Allah ganjari dgn syurga, bersama keberkatan Ramadhan ini. sungguh kite doakan insyaAllah!
Allah Hafidz
August 22, 2009 at 6:57 am
Iman
Moga Allah sembuhkan adik Wani, iAllah…
August 24, 2009 at 4:12 pm
halawatuliman
salam sayang untuk semua,
ezzathy,
jazakillah atas emel yang sungguh indah tempoh hari. alhamdulilah terubat rindu. insyaalah, moga ramadhan ini memberi sinar baru dan kekuatan utk kita semua. ukhti jangan risau2 ok, insyallah ana kuat. ana nak minta maaf sebab lama tak contact ukhti. silap ana yang lalai. mcm emel tempoh hari, wlaupun kita lama tak bersua, kasih sayang ana pada ukhti tak pernah pudar tau. ana tak risau walau kita dah bertahun tak berjumpa sbb ana tahu, hubungan ukhti dan ana macam adik beradik, walau jauh macam mana pun kita, kita tetap mendoakan antara satu sama lain.
ukhti pun, jaga diri di sana. lalai sungguh ana tak mengirimkan khabar, entah sakit, entah susah, entah gembira, ana tak tahu bagaimana keadaan ukhti di sana. tak pe, sempena ramadhan ni, kita tanam azam ya, kalau boleh kita kena hantar emel dengan lebih kerap. tak dapat tatap wajah ukhti, tatap emel ukhti pun jadilah. huhu. ( sampai skrg ana ingat lagi bentuk tulisan tangan ukhti yang kemas dengan dakwat ukhti tekan kuat2..huhu)
ukhti, ana sayang ukhti.
iman,
jazakillah. tau ke, kalau boleh kite nak ada adik macam iman. huhu. tengok muka iman je, kite rasa tenang sangat. lebih2 lagi bila iman nasihatkan kite, kite rasa aman. jazakillah ye iman. iman ni macam jelmaan ezzathy versi uk pada kite. huhu. selalu tenangkan kite. alhamdulilah allah bagi iman kat kite. u dont know how much i appreciate u in my life.
kak iman,
jazakillah kak. lama tak contact akak, sorry ye kak. selamat berpuasa dan berhari raya di malaysia. jaga diri dan iman ye kak.