November 2009.

dd

Di bumi Inggeris ini, hawa kedinginan mulai mencengkam kuat tulang belulang. Di kepagian, rintik-rintik hujan mengetuk-ngetuk atap dan jendela kaca lalu menghasilkan sekelompok muzik orkestra yang setia menyambut sesiapa sahaja yang bangkit pada keheningan fajar. Langit selalu sahaja dilitupi awan gelap. Matahari menjadi pemalu, sinarannya tidak lagi sehangat selalu.

November datang lagi, membawa musim dingin. Sehelai demi sehelai dedaunan gugur ke bumi. Maka, tiada lagi kedengaran irama gesekan dedaunan tatkala bayu bertiup lembut. Kicauan burung juga mulai surut, cuma sesekali  kelihatan  tupai-tupai yang melintasi jalan, mencari rezeki di kala kesejukan.

Kini, tahun 2009 mulai menghampiri penghujungnya. Tahun baru Hijrah juga bakal terbit tidak lama lagi. Saya masih teringat tatkala saya mula sampai ke sini, segala-galanya amat asing. Cuaca, bahasa, budaya, manusia sekeliling dan bermacam lagi. Perbezaan yang amat ketara berbanding apa yang saya miliki di tanah air.

Kini, hampir 2 tahun lebih saya mengharungi perbezaan ini. Saya membina kematangan melalui tarbiyah “perbezaan” ini. Sukar pada awalnya, namun inilah namanya kehidupan. Jangan mimpi untuk maju jika tidak berani untuk  melalui perubahan. Perubahan pula pasti tidak sunyi dengan cabaran. Cabaran yang menuntut kesabaran. Kesabaran yang baik akhirnya akan membuahkan kematangan.

Sudah tiga kali saya melalui kitaran musim dingin di negeri Queen Elizabeth ini, tapi entah mengapa saya merasakan seolah-olah  baru semalam saya menjejakkan kaki ke bumi ini.  Seolah-olah baru semalam saya mengenali the moore, Poundland, Yafai dan Stagecoach tram. Tapi hakikatnya semua itu sudah lama berlalu. Semua kenangan itu semakin jauh dan jauh. Kenangan itu jauh meninggalkan saya  bersama-sama cabaran hari ini dan masa hadapan.

Saya teringat satu teka teki Imam Ghazali kepada anak muridnya.

Imam Ghazali : Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?

Lalu,  anak -anak muridnya menjawab:

Murid 1 : Negeri Cina
Murid 2 : Bulan
Murid 3 : Matahari
Murid 4 : Bintang-bintang

Iman Ghazali : Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.

Masa yang berlalu akan kekal di situ, tidak berganjak. Masa yang berlalu akan bertukar menjadi sejarah. Tidak kiralah ia menjadi sejarah baik atau buruk, ia tetap tidak akan berubah.

Manakala hari ini yang dimiliki adalah masa untuk muhasabah. Memuhasabah atas masa-masa yang telah berlalu. Untuk menilai kualiti dan kuantiti amalan. Untuk merenung keikhlasan hati.

Lalu, hari esok adalah masa untuk menyiram  tunas-tunas keazaman yang tumbuh daripada benih muhasabah.  Keazaman yang tumbuh  melalui baja kecekalan, ketabahan dan koreksi kesalahan pada waktu silam.

……………………………………………………………………………………………………………………………..

Saya mengenali dan memahami tarbiyah dan dakwah di bumi ini. Namun, umur tarbiyah saya lebih pendek sedikit berbanding dengan tempoh keseluruhan saya di sini. Saya tidak terus didedahkan kepada dakwah  secara drastik. Saya tidak diberatkan dengan tanggungjawab dakwah atas tiket “semangat”  semata-mata.

Tetapi saya menerima semua ini melalui asuhan tarbiyah.

Bukan mudah untuk mengharungi tarbiyah. Betapa sukarnya diri untuk berubah, hanya Allah sahaja yang tahu.

Betapa sukarnya diri untuk mengikis karat jahiliyyah, hanya Allah sahaja yang tahu.

Jiwa muda tentu sekali mudah bergelumang dengan hawa nafsu. Sedangkan semua itu  menjadi candu yang melalaikan diri daripada sedar akan realiti umat  pada hari ini.

Dakwah dan tarbiyah bukanlah warisan keluarga saya. Tetapi ada seorang insan yang amat bertanggungjawab membawa saya ke dimensi dunia baru ini.

Insan ini adalah murobbi yang membimbing saya , membantu memecahkan rantaian-rantaian jahiliyyah. Dia sentiasa menyuntik nilai tambah ke dalam diri saya sejak dua tahun lalu. Dalam pemikiran, akhlak, pakaian dan pertuturan. Dia mentarbiyahi saya melalui keindahan nilai akhlak Islam, kecantikan nasihat Al Quran, pengorbanan sirah para anbiya’  dan menyedarkan saya akan kelicikan jahiliyyah. Perlahan-lahan dia mentakwin saya sehingga saya merasakan  saya tidak mampu lagi memisahkan cebisan-cebisan dakwah dan tarbiyah daripada ketulan darah daging sendiri.

Kami mempunyai personaliti yang agak sama. Melancholic. Namun, saya kira bukan faktor personaliti sahaja menjadikan hubungan dua hati menjadi rapat, tetapi tafahum/kefahaman yang menjadi tali pengikat. Hubungan murobbi-mutarobbi memang unik. Saya tidak berfikir 2 kali untuk memberitahu segala rahsia isi hati saya kepada murobbi saya. Dia adalah salah seorang insan yang memahami tabiat dan pemikiran saya.

Dia menyaksikan jatuh dan bangunnya saya, tawa dan tangisnya saya.

Dalam tarbiyah. Dalam dakwah. Dalam hidup.

Tarbiyah yang berusia hampir tiga tahun menghasilkan  rabitah hati yang amat indah.

Buat pertama kalinya saya menatap wajahnya adalah ketika penghujung musim luruh 2007. Kini, pada sekitar waktu yang sama, saya akan kehilangannya untuk tempoh waktu yang agak lama. Saya tidak tahu selama mana, namun saya pasti kehilangan ini pasti lama.

Sama seperti titisan hujan. Titisan hujan itu asalnya adalah titisan air anak-anak laut. Yang mengembara untuk kesekian waktu sebagai awan. Hampir setiap inci muka bumi dijelajahi. Namun, apabila tiba masanya, ia akan pulang. Kepulangannya sebagai hujan. Bersatu kembali pada sebuah lautan.

Begitu juga dengan manusia, setelah puas terbang mencari bekalan pengalaman, ia pasti akan pulang ke tempat asalnya. November ini bakal menyaksikan kepulangan seorang murobbi hebat ke tanah air. Setelah bertahun-tahun dia dan sahabat-sahabatnya menjadi muassis (pengasas) dakwah undergraduate, memulakan qaidah sulbah di UK, sibuk dengan DF, daurah dan program, kini tiba masanya dia mempraktikkan medan amal yang baru dan pasti mencabar di tanah air sendiri.

Yang pergi, pasti akan pergi. Pada yang masih tinggal, perjuangan perlu diteruskan. Memang sukar untuk menerima hakikat perpisahan, namun inilah realiti kehidupan. Sebab tertegaknya Islam itu adalah kerana Allah, bukan atas sebab manusia.

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ

Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul [234]. Apakah Jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. (Ali imran : 144)

……………………………………………………………………………………………………………………………..

Demi Masa!

Meniti usia dewasa amat berharga maka, tidak seharusnya dibazirkan begitu sahaja. Saya melihat terlalu banyak perubahan berlaku, pada diri sendiri, pada keluarga, pada teman dan persekitaran.

November ini menyaksikan beberapa perubahan dalam hidup saya. Pejam celik-pejam celik, adik lelaki saya sudah pun dewasa. Bakal mengambil SPM tidak lama lagi. Jika dahulu, saya mampu mendukung tubuhnya yang kecil ke sana dan ke mari, hari ini saya hanya separas bahunya sahaja.

Bulan ini juga, ayahanda menambah lagi angka pada usianya. Sudah 57 tahun meniti waktu, ayah masih tegap bekerja. Cuma kepala semakin memutih, garis kedutan semakin kelihatan.

 hakim ayah

Selamat menempuhi SPM kepada adinda Nazrul Hakim B Othman dan selamat ulang tahun kelahiran kepada ayahanda- Othman B Dirim.

Dan pada November ini juga, seorang lagi insan penting dalam hidup saya akan pergi. Murabbi saya ini akan pergi ke satu tempat yang lebih memerlukannya. Dia akan pergi meninggalkan tempat ini, namun saya yakin semangat juangnya akan terus bersemadi di sini.

Ayah, Hakim, Kak Nik Mun, sayang kalian kerana Allah!

ss

وَالْعَصْرِ

إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْ

Masa akan terus berlalu dan berlalu. Ia tidak akan menunggu..

Oh Demi masa!

dd

halawatuliman

@Salsabila, Broomhall Sheffield.

21 Zulqaedah 1430